Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah, Malaysia merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan puncak tertinggi di Asia Tenggara yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut. Gunung Kinabalu mempunyai kawasan hutan dipterokarp bukit, hutan dipterokarp atas, hutan montane dan hutan ericaceous atau hutan gunung. Gunung Kinabalu merupakan lambang kemegahan kepada setiap penduduk yang tinggal di Sabah. Sesetengah penduduk menganggap Gunung Kinabalu ini merupakan gunung yang dapat memberikan semangat juang dan satu padu rakyat Sabah. Gunung Kinabalu banyak menyimpan cerita dan kisah-kisah yang misteri. Menurut kepercayaan masyararakat Kadazan Sabah, Gunung Kinabalu merupakan tempat bersemadinya semangat mereka selepas meninggal dunia.
Permukaan asal Gunung Kinabalu terdiri daripada batu-batu sedimen yang terdedah kepada hakisan selama lapan hingga 12 juta tahun. Hakisan yang berterusan itu akhirnya mendedahkan batuan pluton yang lebih tegar. Kesemua puncak tinggi di dunia dilitupi ais tebal pada waktu kuartener atau zaman air batu yang berlaku kurang daripada satu juta tahun lalu termasuklah Gunung Kinabalu yang ketika itu sama paras dengan gunung-gunung di Banjaran Himalaya. Ketika waktu itu, puncak Kinabalu diliputi ais dan berlaku pergerakan glasier. Kesan pergerakan glasier boleh dilihat di kawasan Pinausok Gravel iaitu satu tempat yang terletak di antara Kundasang dengan Ranau.
Seperti mana-mana gunung tinggi di seluruh dunia, Gunung Kinabalu juga tidak terlepas daripada cerita-cerita mistik dan legenda yang unik. Kaum Kadazandusun yang menetap di sekitar wilayah Kundasang dan Ranau di Sabah telah menyifatkan diri mereka sebagai penjaga dan pelindung Gunung Kinabalu untuk sekian lama. Mereka mempercayai tanah sekitar, hutan, air dan Gunung Kinabalu itu sendiri merupakan tanah suci yang perlu dipelihara sentiasa. Mereka juga mempercayai bahawa roh-roh nenek moyang mereka yang telah mati kini berada dan berehat-rehat di Gunung Kinabalu dan sekitarnya. Awalnya, aktiviti meneroka dan mendaki Gunung Kinabalu ialah suatu perbuatan yang ditegah sama-sekali oleh kaum Kadazandusun. Hal ini bagi mengelakkan roh-roh nenek moyang mereka daripada menjadi marah dan mungkin akan mengganggu penduduk setempat serta pendaki.
No comments:
Post a Comment