Di Sabah, ada banyak tempat menarik yang mesti di kunjungi. Malah, di bandar Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, saja banyak aktiviti menyeronokkan boleh dibuat, sama ada melawat lokasi menarik, makan-makan atau membeli-belah. Sekiranya berada di Kota Kinabalu, pelancong boleh singgah atau bermalam di Taman Kinabalu. Perjalanan ke Taman Kinabalu mengambil masa satu setengah jam dari bandar Kota Kinabalu. Cuaca di sini juga sejuk dan berkabus seperti Cameron Highlands. Soal penginapan tidak menjadi masalah kerana ada banyak rumah penginapan seperti bilik, hostel dan banglo yang disediakan. Biasanya penginapan di hostel atau bilik disewa oleh pendaki yang ingin mendaki Gunung Kinabalu manakala bagi yang datang bersama keluarga, penginapan di banglo dua bilik amat sesuai.
Taman Kinabalu mempunyai pelbagai flora dan fauna di dunia yang meliputi kawasan seluas 754 kilometer persegi. Keindahan dan keunikan Taman Kinabalu yang mempunyai pelbagai jenis habitat daripada tanah rendah sehingga ke habitat hutan hujan dan hutan gunung melayakkan UNESCO mewartakan tempat itu sebagai Taman Negara. Apa yang menariknya, taman itu juga menjadi pusat pengkajian tumbuhan untuk Asia Tenggara yang sememangnya kaya dengan spesies flora dari Himalaya, China, Australia dan Malaysia. Selain itu ada pelbagai habitat burung dan hidupan lain yang biasa terdapat di Borneo. Ada juga pengkaji habitat dan jurugambar profesional dari serata dunia yang sanggup bermalam di taman itu.
Mendaki Gunung Kinabalu menjadi aktiviti yang harus dicuba. Tambahan pula semakin ramai yang ingin mendaki Gunung Kinabalu yang ketinggian 4,095 meter. Oleh itu pendaki haruslah membuat persediaan fizikal sebelum mendaki kerana ia menguji kekuatan tubuh dan fizikal selama dua hari. Sepanjang pendakian, pendaki akan dibawa oleh juru pandu yang mahir dengan selok belok Gunung Kinabalu. Tidak perlu risau kerana mereka akan sentiasa memantau pergerakan pendaki dan membimbing untuk sampai ke puncak. Pendaki juga tidak digalakkan pergi tanpa juru pandu, kerana pelbagai risiko terpaksa dihadapi, antaranya sesat dalam hutan. Namun, untuk mendaki Gunung Kinabalu haruslah menempah pakej untuk mendaki Gunung Kinabalu. Pakej ini meliputi makanan dan tempat tinggal apabila sampai di rumah rehat Laban Rata, iaitu sebelum meneruskan perjalanan mendaki ke puncak Gunung Kinabalu.
Dalam era serba membangun, Sabah amat bertuah kerana masih mempunyai koleksi hutan simpan yang luas serta subur merimbun. Datanglah ke Lembah Danum dan habitat haiwan liar di Tabin untuk menikmati alam semulajadi. Terokailah dan rasai keindahan bumi Sabah yang unik hari ini. Antara tempat menarik untuk dikunjungi adalah di Sandakan seperti Batu Tulug, Gua Gomantong, Ladang Teh Sabah, Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sungai Kinabatangan dan Taman Buaya Sandakan.